Wednesday 26 March 2014

Ulangtahun Yang Pertama

Lama betul rasanya tak jenguk blog sendiri dan berziarah ke blog kawan-kawan. Patutlah tiba-tiba hari ni terasa rindu ke 'rumah' ini. Rupanya hari ini genap setahun blog ini dibuka....

Dulu saya berhasrat untuk buat catatan pada 3.3.2014, sempena setahun kami merantau di bumi England. Tapi entah apa yang disibukkan, tarikh tersebut berlalu tanpa sempat meninggalkan coretan di sini. Bukan mudah berhijrah meninggalkan 'comfort zone'. Tambahan lagi dengan keluarga dan empat orang anak. Setelah segalanya ditinggalkan di tanahair, di sini perlu dimulakan kembali dari awal. Kediaman baru, kenderaan baru, sekolah dan kawan-kawan baru untuk anak-anak...semuanya bermula dengan satu pengalaman baru...Walaupun kebanyakan masa perkara-perkara menarik sahaja yang dipaparkan, namun hakikatnya bumi mana tak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelombang. Kehidupan mana yang tidak diuji Tuhan.  Alhamdulillah, setelah pelbagai perkara pahit, manis, suka, duka dan macam-macam pengalaman baru yang ditempuhi di sini, kami berjaya melalui tahun pertama. Semoga Allah kuatkan lagi hati kami untuk menempuhi hari-hari mendatang dan memayungi kami dengan kasih-sayangNya. Sempena setahun kami di sini, pada 3.3.2014 yang lalu, sempat buat nasi kerabu untuk jamuan seisi keluarga...Alhamdulillah...



Ada juga yang bertanya kenapa blog ini namanya 'Gelama Busuk'??Tak komersil langsung kan?haha...

Sebenarnya ada peristiwa di sebalik nama ini. Sebelum kami berangkat ke sini setahun yang lalu, ibu mertua yang saya panggil 'Ma' telah membeli dua ekor ikan gelama masin yang besar. Hasratnya, sebagai bekalan untuk kami bawa ke sini. Dibawa ikan tersebut berbungkus rapi menaiki pesawat dari Kota Bharu ke KLIA sewaktu mahu menghantar kami..Berkali-kali Ma dan Ayah ulang tentang kesedapan ikan ini.  Isinya tebal dan nampak gebu sekali...bukan macam ikan2 masin biasa yang kami beli di Nilai 3. Harganya pun bukan biasa-biasa. Hati seorang ibu, pastilah mahu yang terbaik untuk anak, menantu dan cucu-cucu...Dalam kesibukan kami berkemas sebagai persiapan akhir ke UK, Ma sempat menggorengkan sedikit dari ikan tersebut untuk kami rasa. Hmmm...memang sedap! cukup sekadar dengan nasi putih panas-panas tak ada lauk lain pun tak apa!...menyelerakan. Terbayang senyum puas Ma tengok kami makan dengan penuh selera. "Tentu sedap makan begini di dalam cuaca sejuk di UK nanti"..pasti itu yang bermain di fikiran Ma untuk kami. Sayangnya hajat Ma tidak kesampaian. Entah dimana silapnya, mungkin cara packing yang tak kena...ikan tersebut terkandas di KLIA! Berat hati rasanya nak memulangkan kembali ikan tersebut kepada Ma dan Ayah untuk dibawa pulang kembali...Pasti ada rasa terkilan di hati mereka. Sehingga kini, bila teringin nak makan ikan masin...pasti ikan tersebut yang disebut Mr. Hubby...Itulah nasib sang gelama, yang tak dapat bersama kami di sini...:) Tapi kami abadikan namanya tanda kasih sayang kami untuk Ma dan Ayah yang sentiasa mendoakan kami.....