Sedikit tazkirah untuk hari ini:
25 PESANAN LUQMAN AL-HAKIM KEPADA ANAK-ANAKNYA
1. Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan
lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin
selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama
TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.
2. Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk
menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang
insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima
kemulian dari ALLAH juga.
3. Hai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan rendah
diri dalam beribadat dan taat kpd ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia
akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada
ALLAH.
4. Hai anakku, seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana
kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi
tanam tanaman.
5. Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya
berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu
malam.
6. Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yg
menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan
sebenar-benar takut ( taqwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat
berputus asa dari rahmat ALLAH.
7. Hai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air
mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yang telah rosak akhlaknya
akan sentiasa banyak melamunkan hal- hal yang tidak benar. Ketahuilah,
memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi
pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.
8. Hai anakku, engkau telah merasakan betapa beratnya
mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih berat lagi
daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang
jahat.
9. Hai anakku, janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh
sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja
yang layak menjadi utusan.
10. Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah
dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu
telah memberikan akibat yang berbahaya.
11. Hai anakku, bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah
orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati,
sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri
pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.
12. Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan,
kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila
makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.
13. Hai anakku, janganlah engkau langsung menelan sahaja
kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja kerana pahitnya
sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit
itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.
14. Makanlah makananmu bersama-sama dengan orang- orang yang
taqwa dan bermusyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta
nasihat dari mereka.
15. Hai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bilamana
engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu
tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak
mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.
16. Hai anakku, bilamana engkau mahu mencari kawan sejati,
maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana
dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau
mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.
17. Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta
manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya
seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.
18. Hai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu
padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun
biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.
19. Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang
yang tidak ingin menerima pujian atau mengharapkan sanjungan orang lain kerana
itu adalah sifat riya' yang akan mendatangkan cela pada dirimu.
20. Hai anakku, janganlah engkau condong kepada urusan dunia
dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH
bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina
daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.
21. Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan
kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat
bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan
manfaat bagi orang lain.
22. Hai anakku, janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan
kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang
pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah
mensia-siakan hartamu.
23. Barang siapa yang penyayang tentu akan disayangi,
sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan
sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan
menyesal.
24. Hai anakku, bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi
berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini
mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara
kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.
25. Hai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu
sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau
tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan
menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau
peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau
makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan
orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.
No comments:
Post a Comment